TELUK INTAN: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menjadi 'transporter' atau pengangkut kepada penyeludupan 10 migran, bulan lalu.

Tertuduh, Kamarulzaman Abd Wahab, 60, dan Supiani, 54, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama sebagai operator sebuah kenderaan jenis Nissan Serena telah didapati mengangkut 10 migran warganegara Indonesia yang diseludup iaitu Agus Wiyono, Gunawan, Yode @ Wahyudi Ahmad, Salim, Indra Abdi, M.Sabri @ Muhamad Sabar, Ahmad Lukman, Gimin, Lutfi, dan Suparman.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Batu 12, Jalan Bagan Datoh, Hutan Melintang, pada jam 5.30 pagi, 29 November lalu.

Mereka yang bekerja sebagai pembantu kedai makan didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Februari depan untuk pengurusan kes serta bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Disember lalu, 10 migran warga Indonesia yang diangkut pasangan suami isteri itu telah dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara haram di Mahkamah Majistret Teluk Intan, dan dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkapan serta satu kali sebatan setiap seorang.